TOKOH SUKAN CATUR

 


PENGERUSI TEKNIK PEMBANGUNAN SUKAN (PTPS) CATUR NEGERI SARAWAK

HARUNOOR BIN ISMAIL

(GURU BESAR, SK STOH, PPD LUNDU)

Berbekalkan pengalaman sebagai Penolong Kanan Kokurikulum di Daerah Baram sebelum berpindah ke Daerah Kuching membawa Cikgu Harunoor bin Ismail terus bergerak aktif dalam sukan catur. Beliau yang kini merupakan Guru Besar di SK Stoh, Daerah Lundu sentiasa komited untuk pembangunan sukan catur di Sarawak.

Setelah berpindah, Cikgu Harunoor terus melakar kejayaan di Sekolah Kebangsaan Tan Sri Datuk Haji Mohamed Daerah Padawan, yang kini mempunyai lebih dari 30 buah piala kejohanan catur. Kedudukan tiga terbaik sudah pasti dalam genggaman, dan itu merupakan kebanggaan dan kepuasan buat diri cikgu Harunoor.

Usaha Cikgu Harunoor tidak terhenti, apabila beliau berusaha keras mendidik dan menukar persepsi sukan catur yang dikatakan permainan yang membosankan dalam kalangan murid kerana catur adalah permainan yang memerlukan kemahiran berfikir secara kreatif dan strategik. Malahan catur boleh dikatakan satu seni mempertahankan diri melalui minda. Bercakap mengenai pengalaman manis, beliau tidak pernah lupa akan keajaiban sukan catur yang mana beliau berjaya mengubah seorang pelajar yang pasif dan rendah diri, kemudian menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi, cemerlang dalam akademik. Di samping itu juga beliau berjaya membantu murid lain untuk sama-sama berlatih sukan catur.

Sebagai Pengerusi Teknik Pembangunan Sukan Catur Negeri Sarawak, beliau merasakan cabaran kini adalah untuk mendapat sokongan padu dari pelbagai pihak agar dapat melahirkan lebih ramai pemain catur yang berkualiti dalam kalangan pelajar. Beliau juga berharap, sukan catur menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di JPN Sarawak, sekaligus berhasrat lebih ramai dalam kalangan guru mendapat pentauliahan dan kepakaran dalam bidang pengadilan serta kejurulatihan sukan catur.

Comments